Malaysia kecewa sikap membisu PBB

PUTRAJAYA 15 Mei – Malaysia akan terus berusaha untuk menyeru komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin

Pada masa yang sama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kesal dengan Majlis Keselamatan badan dunia itu yang masih membisu dalam menangani keganasan rejim Israel terhadap Palestin serta kecewa atas ketidakmampuan masyarakat antarabangsa menangani isu tersebut.

Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat.

“Serangan yang zalim dan sangat keterlaluan ini amat meresahkan umat Islam apatah lagi ianya berlaku di bulan suci Ramadan yang mulia dan berlanjutan hingga Syawal, ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut Aidilfitri,” katanya.

Tegasnya,  perbuatan keji lagi terkutuk tentera Israel, khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda, tanpa sebarang timbang rasa dan belas kasihan, yang sedang dilakukan ke atas rakyat Palestin mesti dikecam sekeras-kerasnya oleh seluruh dunia.

“Saya ingin mengulangi pendirian berprinsip kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya sama ada dari segi politik, ekonomi, dan moral,” katanya.

Menurut Muhyiddin, hari ini beliau mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Presiden Republik Indonesia Joko Widodo berhubung situasi terkini di Palestin.

Dalam perbincangan itu, katanya, mereka bersetuju bahawa tindakan ganas rejim Israel harus dihentikan serta-merta.

“Kami juga berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

“Dalam hal ini Malaysia akan menerajui, bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei, untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin,” katanya.

Jelasnya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat Menteri-menteri Luar esok.

“Kerajaan Malaysia akan diwakili oleh Menteri Luar (Hishammuddin Tun Hussein) untuk menyertai mesyuarat tersebut bagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap situasi di Palestin,” katanya dalam satu perutusan khas mengenai situasi di Palestin petang ini.

Jelasnya, serangan Israel ke atas Palestin merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

“Saya percaya, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Palestin dan menolak sekeras-kerasnya tindakan keji rejim Israel ke atas rakyat Palestin,” tegasnya.

Katanya, Malaysia turut menyokong penyelesaian yang adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

Perdana Menteri, berkata, Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak berkaitan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.

(Foto ketika ziarah Masjid al-Aqsa pada 12 Disember 2019)

 

Related posts

Leave a Comment