SINGAPURA 15 Mei – Sebanyak 409 kes import Covid-19, di mana 271 dari Asia Selatan direkodkan sepanjang 28 hari lalu (16 April – 13 Mei), demikian menurut Kementerian Kesihatan (MoH).
Separuh daripada kes ini melibatkan warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) Singapura.
Menurut MoH, pemegang pas kerja, pemegang pas pelajar atau tanggungan membentuk 46.5 peratus daripada kes import ini manakala baki 3.3 peratus pula pengunjung jangka pendek.
Mengenai jumlah kes import yang merupakan pengunjung jangka pendek, MoH berkata hanya mereka dengan hubungan kekeluargaan di sini atau yang mengunjungi Singapura atas sebab ihsan seperti menghadiri upacara pengebumian atau kematian atau mendapatkan rawatan perubatan dibenarkan masuk ke Singapura.
Singapura telah melaporkan tentang bilangan kes Covid-19 yang meningkat dengan individu-individu ini didapati positif buat sementara waktu bagi ujian varian B1617 yang berasal dari India.
Varian ini menurut MoH bukan sahaja masalah Singapura, sebaliknya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkannya sebagai varian yang menjadi keprihatinan sejagat dengan Eropah, Australia, Jepun dan China semua mempunyai jangkitan berpunca daripada varian ini.
“Ini adalah sebab utama mengapa jangkitan ini meningkat serata Asia – di Malaysia, Thailand, Jepun. Malahan sehingga sekarang, rantau selamat seperti Singapura, Taiwan dan Vietnam, sedang mengalami penularan kes masyarakat,” tambah MoH..
Menurut MoH lagi, semua kes ini berasal daripada jangkitan import kerana sempadan terdedah pada penyerapan virus. Hanya satu kes diperlukan bagi menyebabkan penularan wabak dengan tiada negara mampu mengekang dirinya daripada virus ini secara menyeluruh.
Tiada semua negara dapat menutup sempadan sepenuhnya dan sekurang-kurangnya warga negara dan penduduk mesti dibenarkan pulang ke negara masing-masing.
