Sultan Perak zahir kebimbangan

IPOH 11 Mei – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bimbang dengan bilangan jangkitan pesakit Covid-19 yang menular dengan angka yang begitu tinggi.

Justeru, baginda mengingatkan rakyat agar memahami tahap keseriusan penularan wabak dan mengambil tanggungjawab membantu memutuskan rangkaian jangkitan.

Pada masa yang sama tunjukkan simpati kepada para petugas barisan hadapan, terutama para petugas perubatan dan kesihatan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Mohd. Annuar Zaini, Sultan Nazrin turut berkenan membatalkan hasrat untuk berangkat solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Ubudiah dan acara jamuan hari raya di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata, baginda turut perkenan agar masjid dan surau mengadakan solat sunat Aidilfitri dengan had yang ditetapkan KKM dan MKN, dengan kehadiran terhad kepada warganegara Malaysia berusia 12 tahun ke atas.

Solat sunat Aidilfitri juga boleh diadakan di kawasan lapang dan terbuka, tetapi tidak melebihi 50 orang dengan mematuhi jarak fizikal.

Dalam masa sama, jamuan selepas solat sunat Aidilfitri tidak diadakan di samping tidak melakukan ziarah kubur.

Bagaimanapun, takbir raya dibolehkan di masjid dan surau tetapi tidak dibenarkan dari rumah ke rumah.

Mohd Annuar berkata, baginda dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan rakyat serta ketabahan rakyat menghadapi ujian Ilahi ini,

Related posts

Leave a Comment