Vaksinasi Singapura capai 1.8 juta

SINGAPURA 11 Mei – Kira-kira 1.8 juta orang sudahpun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dengan 1.2 juta daripada mereka telah menerima dos kedua sehingga 9 Mei.

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong dalam satu kenyataan berkata, Singapura terus membuat “kemajuan mantap” dalam program vaksinasinya dan kadar pengambilannya “menggalakkan”.

Beliau menarik perhatian sekitar dua pertiga daripada individu berusia 45 tahun ke atas yang layak sudahpun menerima vaksinasi Covid-19 atau menempah janji temu vaksinasi mereka.

Bagaimanapun, lebih ramai orang perlu digalakkan untuk mendapatkan vaksinasi – terutamanya dalam kalangan warga tua – kerana usia mereka paling berisiko.

Gan yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai Covid-19 berkata, vaksinasi akan dilanjutkan secara bertahap-tahap dalam kumpulan-kumpulan lingkungan usia lebih kecil.

Beliau juga menarik perhatian manfaat vaksin-vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dan Moderna terus melebihi risiko yang diketahui dan masih ada keperluan untuk menggalak rakyat Singapura menerima vaksinasi.

Setakat semalam, 30 kes tempatan yang sudah selesai vaksinasi diuji positif bagi Covid-19.

“Kebanyakan kes jangkitan tempatan kita melibatkan individu yang sudah menerima vaksinasi tidak menunjukkan gejala. Tiada seorang yang mengalami penyakit Covid-19 teruk sehingga memerlukan rawatan lebih rapi,” kata Gan.

Related posts

Leave a Comment