Thailand kesan kes varian Covid-19 India

BANGKOK 10 Mei  – Thailand mengesan kes pertama varian Covid-19 India, melibatkan warga tempatan, seorang ibu dan anak yang baru pulang dari Pakistan.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), wanita berusia 42 tahun itu dan tiga anak lelakinya yang berusia antara empat hingga lapan tahun tiba di Thailand dari Pakistan pada 24 April.

Semua mereka berada di pusat kuarantin. Ibu dan anaknya yang berusia 4 tahun disahkan positif sementara dua lagi anaknya negatif.

Chulalongkorn Memorial Hospital pada Ahad menjalankan rawatan genom kerana sejarah perjalanan mereka. Analisis lanjut menunjukkan adanya varian India.

Pihak berkuasa kesihatan menyuarakan kebimbangan varian baharu itu mungkin akan menyebabkan negara dalam keadaan berisiko tinggi untuk menghadapi lebih banyak jangkitan. 

Varian B.1.617.1 dikesan buat pertama kali di India pada Oktober sebelum merebak ke negara lain.

Pakistan, Nepal dan Bangladesh adalah antara negara yang dikesan mempunyai virus ini.

Thailand melarang penerbangan dari India buat sementara waktu mulai 1 Mei. Bagaimanapun, penerbangan pulang untuk mengangkut sejumlah 74 warga Thailand dari India tiba pada 8 Mei sementara dua penerbangan lagi dijadualkan masing-masing tiba pada 15 dan 22 Mei.

Sementara itu, Kementerian Luar dan Jabatan Kawalan Penyakit mengadakan perbincangan untuk menggantung permit masuk dari Pakistan, Bangladesh dan Nepal.

Related posts

Leave a Comment