Kemasukan ke ICU naik 44 peratus

PUTRAJAYA  7 Mei – Setakat hari ini, negara merekodkan kemasukan sebanyak 506 kes ke ICU, iaitu jumlah yang tertinggi semenjak pandemik ini bermula manakala 295 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Kemasukan kes kritikal ke ICU meningkat sebanyak 44% berbanding tempoh dua minggu yang lepas di seluruh negara dan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan kadar peningkatan yang lebih tinggi.

Sebanyak 22 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 melebihi 70% dan ada yang mencecah lebih 90%. Beberapa hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Ada juga pesakit yang terpaksa diberi bantuan alat pernafasan di wad biasa berikutan kesesakan ICU.

Musim perayaan, liputan vaksinasi yang belum lagi meluas serta kepadatan penduduk di sesetengah kawasan akan meningkatkan lagi kemungkinan hospital terus berdepan dengan peningkatan kes khususnya kes dengan gejala serius (kategori 3 – 5) melibatkan golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang mempunyai lain-lain penyakit (co-morbidity).

Bilangan kes harian juga masih tinggi dan belum menunjukkan sebarang penurunan dalam jangka masa terdekat. Pada hari ini sahaja, negara mencatat 4,498 kes baharu.

.

Related posts

Leave a Comment