Rentas negeri, haram atau matlamat tidak menghalalkan cara

SUDAH jelas, sekali lagi tiada warga kota berduyun-duyun akan pulang ke kampung halaman menjelang Hari Raya Aidilfitri ini. Tinggallah perantau yang menjadi warga kota di Lembah Kelang berhari raya di perantauan.

Mahu ke mana apabila rentas negeri dilarang? Lebih mencabar bagi mereka yang tidak boleh rentas daerah. Maknanya perantau yang ada saudara mara atau sahabat handai dari kampung yang sama di negeri yang sama boleh melupakan hasrat berhari raya bersama jika tinggal di daerah berbeza.

Maka berhari rayalah di kawasan atau daerah masing-masing. Sebelum ini secara berseloroh ada senarai kampung di Kuala Lumpur untuk berhari raya di kampung. Itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi sekarang orang Cheras pun tidak boleh ke Kampung Baru.

Apa yang penting sekarang adalah mematuhi perintah pemerintah atau apa yang disebut ulul amri. Mungkin inilah yang menimbulkan kontroversi apabila Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah dihentam oleh banyak pihak gara-gara kenyataan haram melanggar larangan merentas negeri .

Ramai yang tersentak dan tersentap. Reaksi begitu bukankah sesuatu yang mengejutkan. Lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan fatwa. Entah kenapa pemahaman orang kita mengenai hal ini pelbagai. Ada yang boleh menerima dan ada pula mempersendakan pada hal penjelasan oleh mufti amat jelas.

Sudah lumrah kebanyakan masyarakat lebih fokus ‘haram’ kepada makan dan minum – babi dan arak – tetapi haram yang dikaitkan dengan tindakan atau perbuatan sering dipertikaikan atau diabaikan.

Merokok juga pernah difatwakan haram tetapi apa reaksi orang ramai? Berapa ramai yang terus merokok. Begitu juga rasuah. Terhapuskah rasuah?

Samalah dengan rentas negeri yang jatuh hukum haram jika kita melanggar prosedur operasi standard (SOP). Untuk lebih mudah faham, ingatlah niat atau matlamat itu tidak menghalalkan cara.

Niat mahu ziarah ibu bapa di kampung tetapi terhalang kerana SOP. Niat itu baik tetapi apa cara mahu mendapatkan surat rentas negeri? Perlu beri alasan yang tidak wujud?

Walaupun ada yang pertikaikan SOP tetapi yang mewujudkan peraturan adalah pemerintah. Itu seperti undang-undang yang perlu dipatuhi.

Maka itulah jawapan mufti terhadap persoalan rentas sempadan, apa hukumnya apabila kerajaan larang? Jawapannya andai tidak taat kepada ulul amri (pemerintah) maka hukumnya haram.

Menyentuh ada kes tipu dokumen semata-mata mahu merentas negeri dengan menggunakan surat (kebenaran palsu), katanya :. “Itu dua kali haram, menipu untuk rentas negeri dan menipu surat (kebenaran),” .

Luqman dilaporkan berkata, asas kepada larangan rentas negeri perlu dilihat daripada hadis Rasulullah SAW mengenai wabak penyakit taun.

Rasulullah SAW menyebut supaya umat manusia mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit dan mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.

Mudah sahaja untuk faham apa yang dimaksudkan oleh mufti tanpa perlu sehingga mempersendakan kenyataan itu.

Tidak dinafikan ramai yang ‘tersentak’ dengan kenyataan itu selepas terbawa-bawa dengan tindakan atau perbuatan orang yang dianggap kluster kayangan atau hukuman yang dianggap sebagai antara dua darjat.

Ramai juga yang tertekan apabila dua tahun berturut-turut tidak dapat berhari raya bersama keluarga di kampung. Tetapi hakikatnya kita berada dalam suasana pandemik walaupun ada juga yang masih mempertikaikan angka-angka yang diketengahkan.

Seperti kata Luqman, dalam menangani penularan Covid-19, umat Islam perlu kembali kepada perkara paling asas termasuk menerima larangan dikenakan pemerintah sekiranya dilakukan bagi tujuan kebaikan.

“Sekiranya untuk kebaikan, sebagai rakyat ia perlu diikuti. Jika tidak risiko (disebabkan jangkitan) adalah tinggi,” katanya.

Justeru sama ada haram atau tidak, yang penting semua pihak perlu kembali kepada asasnya iaitu untuk kebaikan.

Bukan setakat negara kita sahaja sedang mengambil langkah membendung penularan semula Covid-19 sebaliknya kebanyakan negara di dunia lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri.

Di Indonesia, awal-awal lagi pemerintah mengeluarkan arahan melarang mudik lebaran (balik kampung) Pengalaman yang lepas menyebabkan Indonesia kebih bersedia untuk mencarai jalan mengekang penularan.

Malahan Presiden Indonesia , Joko Widodo serta anggota Kabinetnya akan berhari raya di Jakarta. Mereka bersama rakyat. Bagaimana pula Perdana Menteri kita dan anggota Kabinetnya? Adakah mereka rentas negeri atau kekal berhari raya di Putrajaya?

Related posts

Leave a Comment