Selangor tutup bazar Ramadan

SHAH ALAM 5 Mei – Mulai Sabtu ini, semua bazar Ramadan di Selangor tidak dibenarkan beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula esok, 6 Mei.

Bagaimanapun bazar Raya dan pasar malam dibenarkan operasi sepanjang tempoh PKP sehingga 10 malam dengan syarat yang ketat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tidak bertindak kejam dengan mengarahkan penutupan serta-merta memandangkan pengusaha atau pemilik bazar itu sudah beroperasi hampir 25 hari menjelang Jumaat ini.

Dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan bazar Ramadan tidak dibenarkan, namun semalam Menteri Kanan Pertahanan (Ismail Sabri Yaakob) mengeluarkan arahan dibenarkan.

“Kita telah membuat keputusan semua bazar Ramadan di Selangor tidak dibenarkan mulai Sabtu ini, 8 Mei ini,” katanya pada sidang media khas berhubung pelaksanaan PKP di enam daerah di Selangor di sini, pada Rabu.

Amirudin menambah, tempoh pengoperasian sehingga Jumaat dibenarkan bagi membolehkan pengurus dan pemilik gerai bazar Ramadan untuk menyelesaikan tugasan mereka terutamanya menyelenggara dan menguruskan stok-stok yang mungkin telah mereka kumpulkan pada ketika ini.

Bagi bazar Raya dan pasar malam, pengunjung pada satu-satu masa dihadkan mengikut saiz premis, sistem nombor giliran dikuatkuasakan, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk serta pematuhan SOP lain.

Related posts

Leave a Comment