BJP tewas di Bengal Barat

KOLKATA: Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi tewas kepada Parti Kongres Trinamool (TMC), pimpinan Ketua Menteri Mamata Banerjee, yang memerintah di wilayah Bengal Barat.

Banerjee, 66, akan menjadi ketua menteri bagi wilayah Bengal Barat itu buat kali ketiga berturut-turut selepas TMC menang dua pertiga majoriti, sekali gus membolot lebih 200 kerusi daripada 294 kerusi wilayah.

Keputusan itu dilihat sebagai ujian terhadap kesan gelombang kedua penularan jangkitan ke atas sokongan kepada Modi dan parti BJP.

Modi pula turut mengucapkan tahniah kepada Banerjee yang pada mulanya, parti BJP diramal menang.

Walaupun tewas, BJP menunjukkan peningkatan, menjadikannya parti pembangkang utama kerana meraih hampir 80 kerusi berbanding hanya tiga yang dimenangi pada tahun 2016.

Modi dikritik kerana terlalu memberi tumpuan kepada pilihan raya dan tidak menjadikan pandemik yang sedang membelenggu negara itu keutamaannya.

Beberapa pakar menuding jari menyalahkan suruhanjaya pilihan raya persekutuan kerana membenarkan rapat-rapat pilihan raya dan undi diadakan dengan orang ramai berhimpun dan melanggar peraturan jarak selamat dan memakai pelitup.

Modi, rakan-rakan sekerjanya dan ahli-ahli politik serantau berkempen secara agresif di lima wilayah meskipun dalam keadaan pandemik.

Banerjee, pengkritik tegar Modi, sebahagian besarnya berkempen sendirian untuk mengekalkan kuasanya dengan mengadakan banyak rapat umum.

Di wilayah Assam, BJP berjaya mengekalkan kuasa politiknya manakala di Tamil Nadu, DMK – iaitu parti pembangkang utama di rantau itu – menang.

Di wilayah Kerala, parti politik sayap kiri yang memerintah akan membentuk pemerintah sementara perikatan yang dipimpin BJP tidak memenangi sebarang kerusi.

Di wilayah kesatuan Puducherry, perikatan yang dipimpin Kongres All India NR sedang mendahului dengan 14 daripada 30 kerusi perhimpunan.

Kebanyakan undi dibuat pada bulan Mac, namun undian di beberapa kawasan undi diteruskan sehingga April, sedang India mula mengesan ribuan kes baharu jangkitan Covid-19 setiap hari.

Related posts

Leave a Comment