Singapura catat kematian ke-31

SINGAPURA 2 Mei – Seorang wanita tempatan berusia 88 tahun, dari kelompok jangkitan Covid-19 di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) meninggal dunia semalam (1 Mei) akibat komplikasi yang berpunca daripada jangkitan itu.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian di Singapura akibat koronavirus kepada 31 orang dan jumlah kes yang direkodkan setakat semalam adalah 61,179.

Wanita itu dimasukkan ke Wad 9D TTSH dari 14 April dan disahkan menghidap Covid-19 pada 28 April dan dia mempunyai sejarah barah, tekanan darah tinggi, sakit jantung, angin ahmar dan hiperlipidaemia (darah mengandungi banyak lemak).

Semalam terdapat 34 kes dilaporkan dan sembilan daripadanya adalah jangkitan tempatan, sementara 25 kes import.

Setakat ini, 60,765 pesakit sudah sembuh daripada jangkitan itu termasuk 14 pesakit  yang dibenarkan pulang dari hospital semalam

Kini terdapat 111 kes disahkan positif yang berada di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau semakin pulih dan tiada kes dirawat di unit jagaan rapi (ICU).

Sebanyak 272 kes diasingkan dan dirawat di kemudahan-kemudahan masyarakat. Mereka mengalami simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif Covid-19.

Related posts

Leave a Comment