TASEK GELUGOR 2 Mei – Penganjur Bazar Aidilfitri Kubang Menerong, di sini, dikenakan kompaun RM20,000 berikutan kegagalan mematuhi penjarakan fizikal akibat kepadatan pengunjunh bazar.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata walaupun penganjur mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lain tetapi mereka gagal memastikan aspek penjarakan fizikal.
Beliau berkata hanya 400 pengunjung dibenarkan memasuki bazar berkenaan, tetapi berlaku kesesakan pengunjung.
“Walaupun terdapat tiga jalan masuk dan dua jalan keluar, tetapi masih berlaku pertembungan antara pengunjung sehingga berlaku kesukaran mengawal penjarakan fizikal, “ katanya.
Katanya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengeluarkan notis amaran supaya penganjur mengambil langkah sewajarnya dan mereka mesti selesaikan perkara itu malam ini.
“Bagaimanapun kita kenakan kompaun kerana gagal memastikan pengunjung patuhi penjarakan fizikal dalam keadaan sesak. Walaupun pengunjung patuhi SOP, tetapi penjarakan tiada,” katanya.
Beliau mengambil contoh, ada gerai, sehingga jumlah pelanggan 10 ke 12 orang dalam satu gerai.