SJR di laluan tikus SPU

KEPALA BATAS 2 Mei – Polis menambah sekatan jalan raya (SJR) bergerak di empat lokasi laluan tikus yang bersempadan dengan negeri Kedah bagi memastikan orang ramai tidak merentas negeri terutama ketika beberapa daerah di sana dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lokasi itu membabitkan masing-masing dua di Kepala Batas dan Tasek Gelugor, yang merupakan jalan kampung serta batas sawah padi yang dijadikan orang ramai untuk merentas negeri bagi mengelak dikesan polis.

“Selain SJR bergerak, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan pasukan kereta peronda polis juga sentiasa membuat rondaan di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan tikus itu bagi memastikan tiada pihak merentas negeri dalam usaha memastikan tiada penularan wabak Covid-19.

Menurut laporan Bernama, ketika ini terdapat enam SJR ditempatkan di sempadan negeri di daerah SPU dan jumlah itu akan ditambah menjelang sambutan Aidilfitri bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk pulang berhari raya.

“Malah pasukan pemantau Ops Covid juga ditambah daripada 20 kepada 40 pasukan dengan kekuatan 350 pegawai dan anggota polis,” katanya

selepas mengadakan operasi bersepadu bersama pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri di dua bazar Aidilfitri di daerah SPU serta pemeriksaan di SJR Bertam, di sini.

Related posts

Leave a Comment