SINGAPURA: Berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat sejak kebelakangan ini, Kementerian Kesihatan (MoH) Singapura menggesa supaya perhimpunan sosial, dihadkan sama ada dengan keluarga lain atau di tempat awam.
Orang ramai dinasihatkan supaya perhimpunan itu hanya dua kali sehari dan hadkan pergaulan kepada kenalan yang biasa bertemu saja, serta mengekalkan kumpulan “sekecil mungkin”, dengan had maksimum hanya lapan orang.
Dalam kenyataannya, MoH turut mengingatkan supaya mengelakkan perhimpunan sosial di tempat kerja.
“Kes-kes jangkitan dalam masyarakat baru-baru ini menunjukkan bahawa risiko penularan Covid-19 tetap tinggi, bahkan ketika kita terus melaksanakan vaksinasi,” kata MoH.
Dalam hal ini, MoH akan meningkatkan usaha penguatkuasaan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran peraturan.
Sementara itu Menteri Pendidikan Lawrence Wong, yang juga pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF), semasa sidang media semalam, berkata langkah MoH ini adalah “satu-satunya cara untuk memastikan” penularan virus itu diperlahankan dalam masyarakat.
“Kami akur sekatan baru ini… akan menimbulkan kesulitan bagi orang ramai. Ini tidak mudah kerana pada Mei ada tiga cuti umum,” tambahnya.
Beliau meminta kerjasama semua untuk mengurangkan kegiatan sosial dan mematuhi semua peraturan yang dilaksanakan.
Wong juga menasihatkan orang ramai mengelak ke tempat yang sesak sebaliknya duduk di rumah.
Para majikan, pula katanya, perlu membenarkan pekerja bekerja dari rumah jika mereka dapat melakukan demikian. Tempat-tempat kerja juga harus terus menjarakkan waktu mula bagi pekerja yang perlu kembali ke pejabat selain melaksanakan aturan waktu kerja yang fleksibel.
MoH juga mengingatkan sekiranya jangkitan berterusan, ia akan menyemak langkah-langkah semasa dan akan mengambil langkah lebih berat untuk mengetatkan dan mengurangkan tahap interaksi dalam masyarakat secara ketara.
“Kami meminta kerjasama semua warga Singapura untuk tetap bersatu dan berdisiplin dalam memerangi Covid-19. Bersama-sama, kita dapat menjangkakan Singapura yang lebih selamat dan sihat.”