Boleh jual 36 bunga api raya

KUALA LUMPUR 29 April – Hanya 36 bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ boleh dijual kepada umum pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata

Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Mat Kasim Karim.

Katanya, bunga api yang dibenarkan dijual secara umum adalah Pop-Pop, Happy Boom Dush 20, Happy Boom Glow of Sunset, Happy Boom Flower Silver Cracking Rain dan Happy Boom Thunder Clap (Rockets).

Bagaimanapun, sembilan jenis bunga api ‘Happy Boom’ bagi kategori jualan umum sempena musim perayaan (bersyarat) itu tidak boleh diniagakan oleh peniaga kecil, peruncit dan pasar raya, antaranya Happy Boom Red Cracker, Happy Boom Assorted Celebration Cake Repeate, Happy Boom Shoot Cake dan Happy Boom Tikus 50.

Beberapa syarat yang perlu dipatuhi peniaga kecil, peruncit dan pasar raya ialah penjual adalah warganegara Malaysia serta lesen berniaga yang mengandungi senarai bunga api jenis ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-Pop’ hendaklah dipamerkan bagi tujuan pemeriksaan serta penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

Tempoh jualan hanya 30 hari (15 hari sebelum dan 15 hari selepas tempoh musim perayaan) tertakluk kepada kelulusan dan budi bicara pesuruhjaya polis atau ketua polis negeri.

Penjualan di luar kawasan bangunan pasar raya (pemborong/pasar raya besar) atau pusat beli-belah dibenarkan dengan syarat mempunyai tempat simpan selamat dan diperakui Bahagian Persenjataan PDRM serta mempunyai lesen serta permit daripada pihak berkuasa tempatan.

Peniaga kecil dan bazar juga dibenarkan dengan bersyarat iaitu mempunyai tempat simpanan yang selamat dan diperakui oleh Bahagian Persenjataan PDRM, manakala perniagaan runcit seperti 7-Eleven, 99 Speedmart, Mr DIY dan lain-lain yang seumpamanya hanya dibenarkan menjual satu jenis bunga api sahaja iaitu Pop-Pop dan mempunyai permit PDRM.

“Urus niaga secara dalam talian atau menerusi sebarang aplikasi media sosial adalah tidak dibenarkan selain tidak dibenarkan menjual bunga api di restoran dan kedai makan serta kepada pembeli berumur kurang daripada 18 tahun,” katanya.

Related posts

One Thought to “Boleh jual 36 bunga api raya”

Leave a Comment