Pakai pelitup muka jika belum divaksin

WASHINGTON 28 April – Presiden Joe Biden mengumumkan mereka yang sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19 tidak lagi perlu memakai pelitup muka ketika menjalankan aktiviti di kawasan terbuka.

Bagaimanapun pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di kawasan sesak.

Pengumuman Biden pada sidang media di White House itu menyusul pengumuman sama oleh pihak berkuasa kesihatan negara itu.

CDC (Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit) dalam pengumumannya berkata bermula hari ini, mereka yang sudah divaksin dan mahu melakukan aktiviti di luar, dan bukan kalangan orang ramai, mereka tidak perlu lagi memakai pelitup muka.

“Tetapi sekiranya anda berada dalam kalangan orang ramai, di dalam stadium, persidangan atau konsert, anda masih perlu memakainya.

“Bermula hari ini, perhimpunan dalam kalangan rakan di taman, berkelah, adalah dibenarkan tanpa pelitup muka sekiranya anda sudah divaksin,” kata Biden.

Pengumuman Biden ini juga diharap menjadi kaedah memujuk lebih ramai rakyatnya mendapatkan suntikan vaksin.

Perubahan polisi ini diumum selepas hampir separuh daripada golongan dewasa sudah mendapat satu dos suntikan vaksin.

Sejumlah satu per tiga penduduknya juga sudah mendapat vaksin penuh.

Related posts

Leave a Comment