Peniaga colek juga kena RM50,000

KOTA BHARU 27 April – Bukan setakat peniaga burger tetapi peniaga colek juga menerima nasib yang sama dikompaun RM50,000 selepas didatangi polis pukul 11.20 malam Ahad lalu.

Mohd Azizi Mohd Nor, 42, berniaga di hadapan rumahnya di Kampung Chekok Tengah pada sebelah malam pada bulan Ramadan dengan konsep bungkus dan bawa pulang.

Menurut Astro Awani, Mohd Azizi mendakwa anggota polis berkenaan mengeluarkan notis kompaun RM50,000 kerana didakwa beroperasi melebihi masa ditetapkan, menyebabkan dia dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38, terkejut.

Menceritakan lanjut, Mohd Azizi mendakwa, dia dan isterinya sudahpun menutup kedai pada pukul 10 malam, malah sebahagian lampu juga sudah dipadamkan sebelum ketibaan anggota polis terbabit.

Katanya, hanya lampu bahagian dapur belum dipadam kerana mereka sedang mengemas sambil dia menggoreng keropok untuk anak-anak yang belum tidur ketika itu.

Katanya, dia terpaksa membuka kedai pada waktu malam untuk mencari rezeki pada bulan Ramadan disebabkan tidak boleh berniaga menjual mi celup seperti biasa pada waktu siang.

“Inilah cara kami untuk mencari rezeki menyara hidup kami termasuk lima anak yang masih bersekolah, selain tiga anak saudara.

“Bila kena kompaun macam ini, memang kami agak kecewa kerana ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudah terus kena RM50,000,” katanya.

Katanya, dia dan isteri sudah mengemukakan rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah semalam, namun belum dimaklumkan jumlah pengurangan yang akan diberikan.

Kedua-dua mereka berharap ada pihak tampil membantu bagi menyelesaikan kompaun itu kelak.

Related posts

Leave a Comment