PdPR dua minggu lepas raya

PUTRAJAYA 26 April – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan untuk melaksanakan sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu selepas cuti sekolah sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Kanan Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin, berkata langkah itu bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan dan bakal meningkatkan jangkitan di institusi pendidikan di bawah KPM.

Melalui Facebooknya, beliau berkata, cuti persekolahan akan bermula lebih awal daripada dijadualkan.

Cuti untuk Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada hari Selasa, 11 Mei dan KPM telah membuat ketetapan bahawa sekolah bagi Kumpulan A akan mengambil cuti peristiwa atau cuti ganti pada 9 dan 10 Mei, manakala sekolah dalam Kumpulan B akan mengambil cuti tersebut pada 10 Mei.

Oleh itu sekolah Kumpulan A akan bercuti mulai 7 Mei hingga 15 Mei manakala sekolah Kumpulan B pada 8 Mei hingga 16 Mei.

Sementara itu, beliau berkata arahan penutupan sekolah akan dilaksanakan jika keadaan bertambah buruk dan mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setakat ini katanya SOP sekolah yang disahkan mempunyai kes positif diselaraskan iaitu ditutup dua hari dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan penilaian risiko sama ada untuk melanjutkan penutupan itu atau tidak.

Ia juga bagi PKD melaksanakan pengesanan kontak rapat dan memantau kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi.

Beliau berkata keputusan untuk menutup sekolah pada ketika ini mungkin satu keputusan yang mudah, tetapi mungkin bukan satu keputusan yang tepat.

“Kalau kita pilih jalan mudah, itu (tutup sekolah) memang jalan mudah. Tetapi KPM berpandangan ‘mari kita lakukan perkara yang betul’. Adakah menutup sekolah keputusan yang tepat (pada masa ini)? Kita perlu buat keputusan berdasarkan data dan analisa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment