India terus hadapi lonjakan kes

NEW DELHI 26 April – Jumlah jangkitan Covid-19 terus meningkat di India setiap hari menyebabkan kerajaan persekutuan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya untuk membendung keadaan yang semakin buruk.

Semalam,  Ahad kes Covid-19 mencecah 16,960,172 dengan 349,691 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam, hari keempat berturut-turut lebih 300,000 kes didaftarkan dalam sehari.

Uttar Pradesh dianggarkan mengalami kekurangan sekitar 16,752 katil hospital dengan bekalan oksigen, 3,061 katil unit rawatan rapi, dan sekurang-kurangnya 1,538 ventilator.

Menurut ramalan, kes dijangka meningkat menjadi 500,000 dan beransur reda antara Jun dan Julai.

Negeri-negeri yang berpenduduk padat dijangka terdedah kepada risiko; dan, infrastruktur kesihatan di negeri-negeri tidak mencukupi untuk menangani senario serius ketika ini.

Perdana Menteri Narendra Modi dalam ucapan bulanannya di radio pada Ahad berkata India dikejutkan dengan suatu ‘ribut’ dan meminta orang ramai supaya mendapatkan vaksin serta “tidak terpengaruh dengan sebarang khabar angin mengenai vaksin itu”.

India sudah melaksanakan hampir 141 juta suntikan vaksin setakat ini, namun para pakar berkata, program suntikan vaksin besar-besaran perlu ditingkatkan dengan banyak di negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk itu.

Selain itu, terdapat kritikan yang semakin meningkat terhadap pemerintah Modi yang didakwa tidak bersedia menghadapi lonjakan kes itu.

Related posts

Leave a Comment