Tiga hari catat lebih 2,000 kes

BANGKOK 25 April – Thailand mencatat 2,438 kes baharu Covid-19 dengan 11 kematian, angka kematian harian tertinggi, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu setakat ini ialah 55,460 kes dengan 140 kematian.

Ini merupakan hari ketiga berturut-turut Thailand merekodkan kes harian Covid-19 melebihi angka 2,000 ketika pihak berkuasa mengenakan lebih banyak sekatan bagi mengekang penularan pandemik itu. 

Semalam Thailand merekodkan 2,839 kes dan sebelum itu 2,070.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA),  daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,151 adalah jangkitan tempatan termasuk 282 yang dikenal pasti melalui pengesanan aktif manakala lima merupakan kes import.

Terdapat 24,207 orang masih dirawat di hospital termasuk 19, 274 di hospital biasa dan 4,933 di hospital medan dengan 510 orang berada dalam keadaan serius manakala 142 memerlukan bantuan pernafasan.

Gelombang ketiga telah merekodkan sejumlah 26,597 kes dengan 46 kematian sejak 1 April.

Kematian baharu membabitkan mangsa berusia lingkungan 27 hingga 70 tahun termasuk seorang wanita berumur 32 tahun yang sedang hamil 25 minggu dari Bangkok.

Sementara itu Thailand akan memperlahankan pengeluaran dokumen perjalanan untuk rakyat asing yang melakukan perjalanan dari India susulan varian baharu B.1.617 yang pertama kali dikesan di negara itu (India) pada Oktober.

Bagaimanapun, 131 rakyat Thailand di India yang telah mendaftar untuk melakukan perjalanan ke Thailand pada Mei akan dibenar memasuki negara itu.

Bagi mengekang penularan Covid-19 di ibu negara Thailand, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengarahkan penutupan venue awam dan premis sukan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu berkuat kuasa dari Isnin hingga 9 Mei depan.

Ini termasuk pusat spa, gimnasium, kolam renang, pusat jagaan kanak-kanak, pawagam, taman awam, zoo, muzium, perpustakaan, taman hiburan, klinik kecantikan dan padang sukan.

Semua aktiviti sosial dan keagamaan, penerbitan filem, serta perhimpunan yang menyaksikan lebih 20 peserta turut dilarang.

Related posts

Leave a Comment