Lengkap divaksin masih dijangkiti

 

SINGAPURA 12 April – Seorang lelaki warga India, penghuni asrama pekerja  yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin didapati positif Covid-19.

Kakitangan operasi penambatan kapal itu yang tidak bergejala dikesan dijangkiti virus tersebut semasa diuji pada 7 April.

Kementerian Kesihatan (MoH) dalam satu kenyataan malam tadi berkata, kes ini menjadi peringatan bahawa  individu yang sudah divaksin tidak mustahil boleh dijangkiti.

Lelaki itu menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 pada 25 Januari dan dos kedua pula pada 17 Februari.

“Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan gejala, dan ujian serologinya positif kerana beliau telah menghasilkan antibodi setelah divaksin,” kata MoH.

Bagaimanapun vaksin ini berkesan dalam mencegah penyakit bergejala bagi sebahagian besar yang sudah divaksin.

Ujian-ujian yang dijalani oleh lelaki tersebut sebelum ini menerusi ujian rutin berkala – yang kali terakhir dijalankan pada 24 Mac – semuanya negatif.

Dalam hubungan ini,  penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk menentukan sama ada vaksinasi dapat mencegah penularan lanjut jangkitan.

Justeru MoH mengingatkan setiap orang supaya tidak bersikap sambil lewa.

“Benteng utama kita yang sedang dikuatkuasakan – langkah-langkah pengurusan selamat, ujian, dan pengesanan kontak – akan terus diperlukan dan berkesan dalam membantu membendung penularan dan mengekalkan jangkitan dalam masyarakat pada paras yang rendah.” kata MoH.

Siasatan epidemiologi sedang dijalankan dan semua kontak rapat lelaki yang terjangkit itu sudahpun diasingkan dan dikuarantin.

Selain kes kes jangkitan pertama asrama pekerja selepas enam minggu (terakhir 28 Februari), 19 kes adalah kes import dan sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sejurus selepas mereka tiba di Singapura.

Setakat Ahad, Singapura melaporkan 60,653 kes jangkitan Covid-19, dengan 30 kematian.

Related posts

Leave a Comment