1,510 kes harian, lapan kematian

PUTRAJAYA 10 April – Sebanyak 1,510 kes positif baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam yang lalu menjadikan jumlah kumulatif 359,117 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah kes harian itu, lima adalah kes import melibatkan seorang warganegara dan empat bukan warganegara manakala kes tempatan melibatkan 1,340 warganegara dan 165 bukan warganegara.

Sebanyak 34 kes (2.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Kluster Tembok Tapah (11 kes), Kluster Depot Imigresen Semuja (6 kes), Kluster Tembok Mempaga (3 kes), dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes).

Kes aktif yang dilaporkan ketika ini adalah 15,059 kes selepas 1,248 kes sembuh dan dibenarkan discaj dalam tempoh 24 jam lalu.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat lapan kematian, menjadikan jumlah kematian kini adalah 1,321 kes.

Empat kematian di Sarawak, tiga  di Selangor, dan satu di Pahang, kesemuanya melibatkan warganegara.

Jumlah kes yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 194 kes dengan 81 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment