Perkemas akta antilompat parti

KANGAR 10 Nov. – Undang-undang lompat parti perlu diperkemas selepas didakwa gagal memastikan wakil rakyat yang dipilih tidak mencari helah untuk menghalalkan sesuatu tujuan yang dilihat tidak bertepatan dengan peranan mereka.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Mohd Shukri Ramli mendakwa, undang-undang lompat parti itu gagal kerana masih wujud wakil rakyat yang cuba mencari peluang untuk beralih sokongan meskipun mandat sudah pun diberikan oleh rakyat.

“Perkara ini perlu diperkemaskan lagi supaya semua wakil rakyat tidak boleh mencari helah untuk ‘menghalalkan kerja yang tak elok’.

Pindaan akta itu juga perlu diperlengkap (dengan klausa) yang menghalang mana jua Ahli Parlimen yang hendak bagi sokongan kepada parti lawan pun tidak boleh, itu barulah betul kerana jika dilihat dalam situasi sekarang ini masih ada ruang (Ahli Parlimen) nak alih sokongan tanpa lompat parti,” katanya.

Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis itu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan 50 Tahun Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) di sebuah hotel di Kuala Perlis, di sini semalam.

Kenyataan itu susulan empat Ahli Parlimen PN dari Bersatu iaitu Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli mengambil tindakan menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim walaupun mahu terus kekal bersama Bersatu.

Malam tadi, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu juga menggesa Akta Antilompat Parti yang diwartakan pada 6 September lalu, dikaji semula susulan didakwa mempunyai kelompongan ketara.

Beliau mengambil contoh, kes yang belum diputuskan mahkamah terhadap empat bekas ahli Parlimen Bersatu (Sabah) yang menyokong Kerajaan Perpaduan tetapi di peringkat Speaker Dewan Rakyat memutuskan mereka tidak melanggar peraturan parti.

Muhyiddin merujuk tindakan empat bekas ahli Bersatu iaitu Ahli Parlimen Sipitang, Matbali Musah,  Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan  Jonathan Yasin (Ranau) yang bertukar parti pada Januari lalu

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, pindaan akta itu perlu diperlengkap dengan klausa yang menghalang Ahli Parlimen yang hendak memberi sokongan kepada parti lawan disebabkan ketika ini mereka boleh beralih sokongan tanpa lompat parti.

Beliau juga menjelaskan sokongan dan pendirian Pas dalam PN masih terus kekal utuh disebabkan mereka sudah ditarbiyah untuk lebih beristiqamah dalam perjuangan, dididik untuk setia pada satu tujuan.

“Dalam soal Bersatu pula, saya lihat meskipun ada Ahli Parlimennya menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sebagai usaha untuk mendapatkan bantuan peruntukan di kawasan Parlimen, saya yakin mereka masih terus menyokong PN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment