279,023 individu lengkap dos

KUALA LUMPUR 4 April – Seramai 279,023 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dos suntikan vaksin mereka setakat semalam, kata Menteri Kesihatan  Dr Adham Baba.

Beliau berkata bagi tempoh sama, seramai 508,481 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini sebanyak 787,504.

Dr Adham berkata lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 71,403 diikuti Sarawak (52,157), Perak (50,334), Sabah (46,459) dan Kuala Lumpur (44,925).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 34,716 individu, Perak (29,412), Kuala Lumpur (26,637), Sarawak (26,600) dan Sabah (24,737).

Mengenai jumlah pendaftaran program imunisasi itu, sebanyak 7,808,785 atau 32.20 peratus direkodkan dalam tempoh sama dengan Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 2,132,502 pendaftaran.

Related posts

Leave a Comment