Berkurung kali ketiga di Perancis

PERANCIS melaksanakan perintah kawalan pergerakan untuk kali ketiga di seluruh negara yang menyaksikan sekolah turut ditutup selama tiga minggu bagi membendung penularan Covid-19 yang melumpuhkan sistem kesihatan negara.

Presiden Emmanuel Macron ketika mengumumkan perintah tersebut melalui televisyen semalam (31 Mac) berkata, negara akan hilang kawalan sekiranya langkah itu tidak diambil sekarang bagi mendepani gelombang ketiga pandemik itu.

Katanya, perintah berkurung itu akan bermula Sabtu ini, mulai pukul 7 malam sehingga 6 pagi bagi tempoh sekurang-kurangnya selama sebulan.

Jumlah kematian menghampiri 100,000 orang dengan jumlah kes harian melonjak kepada 59,000 orang pada Rabu berbanding 20,000 pada Februari manakala jumlah pesakit di unit rawatan rapi berada pada tahap kritikal .

Terdahulu, beberapa wilayah di Perancis telah mula melaksanakan kawalan pergerakan lebih dari seminggu, termasuk di Paris.

Berikutan penutupan sekolah, pembelajaran secara dalam talian akan dijalankan.

“Ini solusi terbaik untuk mengawal penularan virus,” kata Macron, sambil menambah Perancis sekurang-kurangnya berjaya membuka sekolahnya dalam tempoh yang lebih panjang berbanding banyak negara jiran.

Katanya, langkah ‘penutupan’ seluruh negara adalah kerana tidak ada kawasan di negara itu terhindar daripada virus.

“Di mana sahaja virus tersebar dengan lebih cepat dan cepat dan di mana-mana, kemasukan ke hospital semakin meningkat,” kata Macron.

Beliau berkata, perhimpunan di dalam dan di luar juga dilarang dan orang ramai tidak dibenarkan melakukan perjalanan lebih dari 10 kilometer dari rumah mereka.

Katanya, tidak seperti perintah berkurung pada musim bunga, orang ramai yang meninggalkan kediaman mereka tidak perlu mengisi borang dengan waktu, tarikh dan tujuan mereka.

“Kami memilih untuk memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap rasa tanggungjawab mereka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment