Pfizer dan Moderna berkesan

ATLANTA: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mendedahkan penggunaan vaksin Covid-19 Pfizer dan Moderna, menunjukkan keberkesanan pencegahan virus pada tahap 95 peratus selepas dua dos.

Kajian mendapati vaksin itu mengurangkan risiko jangkitan sebanyak 80 peratus dua minggu atau lebih selepas suntikan pertama daripada dua suntikan.

Ini menurut data kajian dunia nyata ke atas kakitangan kesihatan dan barisan hadapan Amerika Syarikat, yang dikeluarkan pada Isnin (29 Mac) yang melibatkan sekitar 4,000 orang sukarelawan dari enam negeri.

Kajian ini adalah penilaian pertama dibuat selepas eksperimen di peringkat pengeluar. Sekitar dua pertiga peserta divaksin dengan Pfizer, manakala selebihnya menerima suntikan Moderna dan Johnson&Johnson.

Kajian CDC menilai keupayaan vaksin-vaksin itu untuk memberi perlindungan terhadap jangkitan, termasuk jangkitan yang tidak menyebabkan gejala. Ujian klinikal oleh syarikat-syarikat tersebut sebelum ini menilai keberkesanan vaksin dalam mencegah penyakit akibat Covid-19.

“Kajian ini menunjukkan bahawa usaha vaksinasi nasional kami berjalan lancar,” kata Pengarah CDC Rochelle Walensky dalam satu kenyataan.

Selain CDC, beberapa negara lain turut menjalankan kajian berhubung keberkesanan vaksin, termasuk United Kingdom (UK).

Related posts

Leave a Comment