200 juta dos sasaran baharu

WASHINGTON DC: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menetapkan sasaran baharu suntikan vaksin Covid-19 sebanyak 200 juta dos di negara Uncle Sam itu dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

Sasaran itu dibuat selepas pentadbirannya berjaya mencapai matlamat 100 hari dalam tempoh 58 hari lebih awal, janji yang ditetapkan setelah memegang jawatan itu pada 20 Januari lalu.

Bercakap pada sidang media di White House, Biden percaya sasaran itu boleh dicapai. White House menyatakan 130 juta suntikan dilakukan setakat Rabu lepas.

Menurut Biden, sebanyak 85 juta individu telah menerima satu suntikan dos vaksin manakala sekitar 45 juta individu pula telah menerima suntikan dua dos vaksin sepenuhnya.

Sasaran baharu Biden itu dilihat mampu dicapai jika kadar vaksinasi berterusan berada pada tahap sekarang.

Ketika kempen pemilihan Presiden menentang Donald Trump, Biden berjanji akan mengendalikan wabak koronavirus dengan lebih baik.

Biden turut menggesa rakyat AS mengikut nasihat pakar kesihatan awam walaupun semakin ramai individu telah menerima vaksin Covid-19.

Related posts

Leave a Comment