Singapura tarik balik telur Linggi

SINGAPURA 19 Mac – Singapura sekali lagi menarik balik telur keluaran Malaysia selepas mengesan Salmonella Enteritidis (SE) dalam produk tersebut.

Ini kali kedua dalam tempoh seminggu, Agensi Makanan Singapura (SFA)  mengeluarkan arahan itu disebabkan faktor yang sama.

Kali ini melibatkan telur keluaran Linggi Agriculture dari Malaysia sementara kali pertama pada 12 Mac, melibatkan telur dari Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram.

Dalam satu kenyataan media lewat petang ini  SFA menyatakan ladang Linggi Agriculture digantung operasi dan penggantungan tersebut akan ditarik balik hanya apabila ladang itu memperbaiki masalah pencemaran Salmonella Enteritidis.

Telur yang terjejas mempunyai kod “CEM014” yang tertera pada kulitnya. Pengimportnya ialah An Hong Egg Supplies, Chuan Huat Poultry Farm Pte Ltd, Dasoon Pte Ltd dan FE Supply Pte Ltd.

SFA menasihatkan orang ramai yang sudah membeli telur berkenaan memasaknya dengan betul sebelum dimakan.

Menurut SFA, Salmonella Enteritidis terdapat di dalam telur, dan juga di kulit telur.

SE bagaimanapun dapat dimusnahkan oleh haba dan telur selamat dimakan jika dimasak dengan sempurna.

Bakteria boleh hidup dalam telur mentah dan yang tidak dimasak betul dan boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan termasuk cirit-birit, sakit perut, demam, mual dan muntah.

Walaupun jangkitan SE biasanya reda dalam masa seminggu dalam kalangan kebanyakan orang, ia boleh menyebabkan jangkitan serius pada kumpulan rentan seperti warga emas, anak kecil dan mereka yang lemah sistem imun.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, pengguna diingatkan supaya memastikan telur dimasak dengan sempurna sehingga putih telur dan kuning telur pekat, di samping mengamalkan kebersihan yang betul untuk mengelakkan pencemaran dengan makanan lain.

Related posts

Leave a Comment