Setahun PKP, belajar menghargai ‘nikmat yang hilang’

GENAP setahun rakyat Malaysia mengenali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19. Menyelak kembali episod PKP ini, tentunya masih ramai yang ingat bagaimana PKP bermula dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin muncul di televisyen pada 16 Mac 2020 ketika negara merekodkan 553 kes dan mengumumkan “kita semua perlu duduk di rumah selama dua minggu,” mulai 18 hingga 31 Mac 2020.

Semua aktiviti kehidupan normal dihentikan mulai tarikh itu. Pejabat, sekolah, universiti, kilang, perniagaan, masjid, pelancongan dan pelbagai lagi ditutup.
Panik seketika. Ada pula yang balik kampung untuk bercuti.

Pada peringkat awal apabila ada yang ‘tersalah’ faham, PM muncul lagi di kaca televisyen menerangkan tujuan sebenar PKP.

“Tujuannya bukan untuk membolehkan saudara-saudari balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasar raya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan. Bukan. Tujuannya ialah supaya saudara-saudari duduk di rumah. Stay at home and protect yourself and your family, “ katanya.

PM merayu orang ramai memahami tujuan PKP selepas mendapati ramai balik kampung, lebuh raya dan stesen bas sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung. PKP adalah bertujuan memutuskan rantaian jangkitan, supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak Covid-19 ini dapat dikurangkan.

“ Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang. Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini,” kata PM.

PKP tidak berakhir 31 Mac tetapi disambung dua minggu lagi sehingga 14 April, kemudian sehingga 28 April dan disambung sehingga 12 Mei tetapi dikenali PKP Bersyarat mulai 4 Mei. Sejak itu kita berada di bawah PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP) sebelum PKPB dan PKP silih berganti di negeri-negeri tertentu.

Kini setahun, kita sudah mengharungi pelbagai PKP sama ada yang dilanjutkan atau bertukar nama berdasarkan kelonggaran. Ada juga, PKP Diperketat (PKPD).

Kita masih dalam PKP, tetapi dengan pelbagai kelonggaran yang masih ‘membelenggu’ kehidupan. Kita sedang dalam norma baharu kehidupan. Sakit kita, sakit negara belum pulih. Tetapi sekurang-kurangnya kita sudah mula mendapat penawar walaupun keberkesanannya belum teruji.

Norma baharu kehidupan perlu diberi perhatian. Ulang tahun pertama PKP ini bukan untuk diraikan sebagai kebebasan. Musuh masih ada di sekeliling kita. Jangan alpa atau lalai dengan kelonggaran yang diberi.

Setahun bukanlah satu jangka masa yang panjang tetapi juga bukanlah tempoh yang singkat sekiranya terpaksa menjalani norma baharu kehidupan. Banyak yang berubah dalam kehidupan. Duduk di rumah untuk satu jangka masa yang panjang tanpa menikmati kebebasan di luar.

Apa yang diharapkan tempoh setahun itu menginsafkan kita dalam kehidupan. Setahun mengajar kita untuk bersiap siaga sepanjang masa agar lebih bersedia pada masa hadapan. Ibarat sediakan payung sebekum hujan dan jangan mencurahkan air di tempayan selepas mendengar guruh di langit.

PKP mengajar kita untuk tidak menangguhkan sesuatu perkara yang baik. PKP mengajar kita bagaimana setiap orang harus bersedia menerima takdirnya. Aktiviti kita tiba-tiba terhenti , sesuatu yang tidak pernah terduga.

Umpama manusia, kematian itu pasti tetapi siapa pun tidak tahu bila, justeru persiapan perlu dilakukan kerana kematian itu tidak mengenal usia, pangkat, atau tahap kesihatan seseorang.

Begitulah bencana yang datang. Kita perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan supaya apabila tiba sesuatu musibah, kita tidak teraba-raba mencari jalan keluar.

Setahun PKP mengajar kita untuk menghargai sesuatu yang kita ‘hilang’ . Setahun PKP membawa kita untuk menoleh semula ke belakang apa yang berlaku sepanjang kehidupan pada tahun-tahun tanpa pandemik.

Jika kita sudah berusia 50 tahun, apakah yang telah kita lakukan dalam tempoh 30 tahun lalu? Sama-sama kita renungkan apa yang sepatutnya kita lakukan 30 tahun tanpa pandemik atau tanpa PKP tetapi tidak dilakukan dengan baik dan terancang.

PKP umpama penyakit yang tiba-tiba menyerang kita yang sihat. Sesuatu yang sepatutnya dilakukan semasa sihat terhalang dan tiba-tiba sahaja kita mula insaf dan mahu melakukannya tetapi agak terlewat atau terbatas.

Bertahun-tahun kita ke sana sini melancong tiba-tiba setahun duduk di dalam negara. Saban tahun umrah tiba-tiba 2020 terhalang. Saban tahun balik kampung berhari raya atau ziarah keluarga tiba-tiba beraya di kota, bertahun Tarawih di masjid dan surau tiba tiba menjadi imam di rumah, bertahun makan di luar tiba-tiba bungkus makanan makan di rumah.

Bertahun-tahun mengaut keuntungan dalam perniagaan tiba-tiba hilang pendapatan hingga gulung tikar. Bertahun-tahun ‘menabung’ di KWSP sebagai bekalan hari tua, tiba-tiba terpaksa ‘memecahkan tabung’ itu.

Dalam erti kata lain bertahun-tahun kita bebas menikmati kehidupan di muka bumi ini dengan ‘menghirup udara segar’ tetapi tiba-tiba pergerakan kita dikawal, terhad atau terbatas dan terpaksa berjaga-jaga bagaikan bernafas dalam udara kotor.

Justeru jangan abaikan setahun pengalaman yang amat berharga ini. Pada masa yang sama kita perlu terus berjuang mungkin setahun lagi bagi menghadapi musuh yang tidak kelihatan ini

Related posts

Leave a Comment