Thailand catat 149 kes baharu

BANGKOK 16 Mac  – Thailand hari ini merekodkan 149 kes jangkitan baharu Covid-19 termasuk 100 kes di Bangkok dengan sifar kematian menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu setakat ini 27,154 kes dan 87 kematian.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), 123 dikesan melalui pengesanan kes aktif, 21 merupakan individu yang mendapatkan rawatan di hospital manakala lima adalah kes import. 

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) pula berkata kluster baharu Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan pasar di pinggir Bangkok telah mencatat 224 kes setakat ini.

Ia berkata enam pasar di daerah Bang Khae telah diarahkan tutup sehingga Khamis untuk kerja-kerja disinfeksi.

Sejak pertengahan Disember tahun lepas, Thailand mengesan kluster baharu yang mempunyai kaitan dengan pasar terbabit iaitu Samut Sakhon dan Pathum Thani selain kluster terbaru di Bang Khae, Bangkok. 

Lima kes import pula melibatkan mereka yang dikuarantin selepas ketibaan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) seramai tiga orang, masing-masing seorang dari Switzerland dan Jerman.

Sementara itu dari 27,154 kes, sebanyak 26,299 atau 96.85 peratus dilaporkan sembuh termasuk 65 hari ini manakala 768 masih di hospital.

Related posts

Leave a Comment