Perbincangan awal belum formal

PETALING JAYA, 16 Mac — Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata belum ada kerjasama secara rasmi antara PKR dan UMNO sebaliknya perkara itu hanya pada peringkat perbincangan awal.

Beliau berkata perbincangan itu setakat ini membabitkan sokongan untuk bekerjasama secara individu oleh beberapa Ahli Parlimen UMNO.

“Ada beberapa Ahli Parlimen UMNO yang menyokong (secara peribadi), namun (sokongan) sebagai parti tiada keputusan. Perbincangan dengan UMNO (Ahli Parlimen) itu berterusan,” katanya.

Beliau berjata agak terlalu awal untuk mengatakan ada suatu perjanjian atau persefahaman.

“Saya tidak nafikan kemungkinan kerjasama (politik). Ini yang saya jelaskan pada Ahli Parlimen dan kepada pimpinan negeri supaya disampaikan kepada akar umbi kita,” jelas Anwar pada satu sidang media hari ini.

Beliau menjelaskan tentang pelbagai spekulasi dan perkembangan dalam media sejak akhir-akhir ini yang rata-ratanya menjurus kepada kesimpulan bahawa sudah ada satu persefahaman atau perjanjian antara dua parti tersebut.

“Saya (cuma) sebut istilah ‘perbincangan’, ia belum formal. Saya jumpa semua, apa hak saya untuk nafikan. Dengan Tun Mahathir pun saya bincang dulu, kenapa tidak boleh dengan orang lain?” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, perbincangan itu adalah permulaan yang sangat ‘positif’ antara dua parti yang membincangkan beberapa perkara penting antara dua pihak.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama kepemimpinan tinggi parti yang turut dihadiri Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Baru-baru ini, menerusi wawancara bersama akhbar Mingguan Malaysia , Anwar mendedahkan terdapat perbincangan tidak rasmi antara partinya dan UMNO mengenai kemungkinan akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Related posts

Leave a Comment