Anwar masih ada bilangan mencukupi

PETALING JAYA 16 Mac – Di sebalik penghijrahan wakil rakyatnya yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa PN masih  tidak mendapat sokongan majoriti.

Ketua Pembangkang itu mendakwa jika diambil sebahagian daripada 111 Ahli Parlimen (menyokong PN) yang menyatakan sokongan kepadanya, PN secara teknikal tinggal 100 orang.

“Saya masih mempunyai bilangan yang mencukupi,” katanya dalam sdiang media di sini petang ini.

Beliau merujuk tindakan beberapa pemimpin PKR termasuk Ahli Parlimen meninggalkan parti dan menyatakan sokongan terhadap PN.

“Saya nak tegaskan disini, dengan tarik lima atau enam orang ke Perikatan Nasional (PN), dia belum lagi dapat majoriti.

“Sekarang dia (PN) dapat tiga Ahli Parlimen, (jika) enam Ahli Parlimen pun belum cukup 110 Ahli Parlimen. Ini saya pasti dengan kenyataan yang jelas,” katanya lagi.

Merujuk kepada dua wakil rakyatnya dari Julau dan Tebrau yang menyokong PN dengan menyertai Bersatu, beliau berkata:

“Dengan dua yang lompat ini dia masih minoriti. Saya nak tekankan jangan orang salah faham, dia masih minoriti, jauh jumlahnya kecil daripada dengan kita”.

Anwar juga mendakwa bahawa lima daripada Ahli Parlimen parti itu Sekijang, Padang Serai, Sungai Siput, Putatan dan Miri menerima ugutan dan sogokan sebagai ‘umpan’ untuk menarik dukungan (sokongan) mereka.

Jelas Anwar, ugutan terbabit hanya untuk mendera Ahli Parlimen Pembangkang agar menyatakan sokongan kepada pihak tertentu.

“Dalam kes SPRM yang terbaru, memang nyata ia jadi senjata politik. Kalau lompat, siasatan ditangguh, kamu tetap didera. Saya pagi esok akan tulis pada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta pertemuan untuk jelaskan hal sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, semua pemimpin PKR di peringkat pusat dan negeri sentiasa menyokong agenda membanteras jenayah namun jika ugutan dibuat demi menekan beberapa Ahli Parlimen Pembangkang agar mendapat sokongan, itu adalah politik penipuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mendedahkan bahawa terdapat Menteri Kanan bertemu dengan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar sebelum Ahli Parlimen itu mengumumkan keluar PKR.

“Dia (Dr Xavier) jumpa saya seminggu sebelum itu, dia jumpa saya dan sebut pasal masalah yang dia hadapi. Saya beritahu dia, jangan risau jika dia tidak bersalah, kita (PKR) akan pertahankan dia.

“Kemudian dia cakap, dia berjumpa dengan Menteri Kanan yang juga mengugut dia,” kata Anwar.

Sebelum ini, Dr Xavier dalam satu kenyataan media memaklumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta-merta pada 13 Mac lalu.

Menurutnya, tindakan itu dibuat selepas beliau kecewa terhadap situasi politik yang berlaku di negara ini.

Related posts

Leave a Comment