170 kes, kluster pasar di Thailand

BANGKOK 14 Mac – Thailand merekodkan 170 kes baharu Covid-19 hari ini termasuk 14 kes import yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 26,927.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 memberitahu, Bangkok mencatatkan 90 kes melalui pemeriksaan yang dilakukan di lapangan manakala tiga kes dikesan di hospital.

Sebanyak 80 kes hasil pemeriksaan itu dikesan di Pasar Bang Khae antara daerah Bang Khae dan Phasi Charoen.

Kewujudan kluster pasar itu menyebabkan pihak Pentadbiran Metropolitan Bangkok menutup pasar berkenaan semalam.

Mereka yang berkunjung ke pasar itu antara 27 Februari dan semalam diminta menjalani ujian koronavirus di mana-mana hospital.

Sementara itu Samut Sakhon menambah 31 kes hasil ujian aktif yang dilakukan diikuti Pathum Thani (10), Phetchaburi (3) dan Narathiwat (2). Samut Sakhon juga merekodkan 12 kes di hospital manakala Nakhon Pathom (3) dan Pathum Thani (2).

Kes import pula turut melibatkan tiga dari Malaysia, dua kes masing-masing dari Mesir, Perancis dan United Kingdom manakala satu kes masing-masing dari Ghana, Tanzania, Emiriyah Arab Bersatu, Amerika Syarikat dan Pakistan.

Sebanyak 68 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 26,154. Jumlah kematian kekal 86 manakala 687 sedang mendapatkan rawatan.

Related posts

Leave a Comment