PUTRAJAYA 18 Jan. – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti secara menyeluruh bagi mewajibkan syarikat pengendali umrah mempunyai jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000.
MOTAC yang kecewa kerana masih ada syarikat pengendali umrah yang tidak bertanggungawab memaklumkan dasar yang akan dimuktamadkan kelak itu diharapkan dapat dikuatkuasakan secepat mungkin.
Langkah berkenaan susulan kes penipuan yang semakin kerap dan serius manakala jaminan bank bagi syarikat-syarikat pengendali termaktub dalam Peraturan-peraturan Industri Pelancongan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
“Untuk pengendali berskala besar pula, jaminan bank ini akan dinaikkan mengikut saiz operasi syarikat mereka,” kata MOTAC dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataannya, MOTAC berkata, walaupun tindakan telah diambil terhadap pengendali yang gagal mematuhi undang undang sebelum ini, namun masih ada syarikat yang terus mengabaikan tanggungjawab mereka.
Justeru jaminan bank itu bertujuan memastikan perkhidmatan yang berkualiti dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.
“Misalnya apabila berlaku penipuan, dana daripada jaminan bank ini akan digunakan untuk memberi pampasan kepada mangsa yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menegaskan yang MOTAC tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka serta-merta tanpa kompromi sekiranya ada syarikat yang tidak dapat memenuhi keperluan berkenaan.
“MOTAC menegaskan dan mengulangi komitmen untuk melindungi kepentingan jemaah umrah dengan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pengendali yang gagal mematuhi keperluan serta peraturan yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 135 mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang telah hadir ke kementerian itu di Putrajaya hari ini untuk mengadu tentang pengendali yang gagal menguruskan perjalanan mereka mengerjakan umrah dan ini menunjukkan isu berkenaan tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan.
MOTAC sebelum ini telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil persatuan pengendali umrah iaitu Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH).
“Kementerian tiada pilihan selain bertindak tegas bagi melindungi hak dan kepentingan jemaah umrah. Kepercayaan rakyat terhadap industri umrah harus dipulihkan dan pengendali yang cuai atau tidak bertanggungjawab tidak akan diberi ruang untuk terus beroperasi,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, MOTAC turut menyeru semua pengendali umrah untuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan yang bukan sahaja untuk menjaga kepentingan rakyat tetapi juga untuk memastikan integriti dan kredibiliti industri umrah di Malaysia terus kekal diyakini.
Nnnn
