Kompaun RM10,000 bermula

KUALA LUMPUR 11 Mac – Nilai kompaun bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 mulai hari ini, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 12.01 tengah malam tadi.

Bagaimanapun  keputusan menaikkan nilai kompaun itu bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebih-lebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai.

Tetapi ia semata-mata untuk menyedarkan orang ramai bahawa virus ini masih berada di mana-mana sekiranya kita lupa.

“Jika PKP dikenakan sejak sebulan lepas tak dipatuhi maka pada bila-bila masa keadaan boleh berubah kepada keadaan jauh lebih buruk (jumlah kes positif) daripada sebelum ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Bukit Aman memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap ketua polis negeri jika ada anggota mereka didapati gagal menjalankan tugas dengan baik ketika sekatan jalan raya (SJR).

Abdul Hamid, berkata SJR penting dalam memastikan pasukan itu dapat mengawal aktiviti rentas sempadan, justeru ia tidak boleh dipandang mudah.

Katanya, amaran itu dikeluarkan susulan aduan diterima pihaknya mengenai segelintir anggota didakwa mengambil ringan tanggungjawab berkawal pada SJR termasuk di sempadan negeri.

“Saya telah keluarkan arahan, jadi saya akan ambil tindakan tegas terhadap CPO (ketua polis negeri) di negeri yang berlaku keadaan anggota polis tidak berkawal di SJR, sebaliknya, petugas-petugas duduk berehat.

“Waktu solat memang diizinkan solat. Tapi ambil giliran, buat penggiliran di setiap SJR. Pada waktu puncak pula termasuk waktu pagi, semua anggota perlu membuat kawalan dan pemeriksaan supaya dapat mempercepatkan laluan kenderaan.

“Ketika bukan waktu puncak, mungkin sebahagian daripada petugas boleh duduk berehat (bergilir-gilir),” katanya

Beliau berkata, pemeriksaan kenderaan di SJR di seluruh negara akan diperketatkan bagi mengelakkan kegiatan rentas negeri tanpa kebenaran.

“Saya tak mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipersalahkan dan tak sanggup lihat wujud kluster rentas negeri seperti sebelum ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment