Kurangkan pengambilan garam

KAJIAN pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia (MyCoSS 2017/2018) mendapati bahawa purata pengambilan garam adalah sebanyak 7.9 gram sehari atau bersamaan dengan 1.6 sudu teh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih mengambil garam melebihi daripada saranan yang ditetapkan untuk kurang daripada 5.0 gram (1 paras sudu teh) dalam sehari.

Justeru sempena sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2021, Kementerian Kesihatan menyeru rakyat Malaysia agar lebih prihatin dengan mengambil langkah-langkah mudah yang disarankan bagi mengurangkan pengambilan garam untuk tidak melebihi 5 gram sehari.

“Kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan dalam usaha menjayakan strategi pengurangan pengambilan garam berlebihan di Malaysia,” katanya.

Beliau berharap segala usaha untuk mengurangkan pengambilan garam berlebihan dapat membantu mencegah dan mengawal penyakit hipertensi serta komplikasinya, seterusnya dapat mengurangkan kematian pramatang di kalangan rakyat Malaysia.

Tahun ini World Action On Salt, Sugar and Health (WASSH) telah menetapkan bahawa Minggu Kesedaran Garam Sedunia akan disambut pada 8 hingga 14 Mac 2021. Tema tahun ini adalah Tambah Perisa Asli, Sedikit Garam Mencukupi (More Flavour, Less Salt).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan garam seharusnya tidak melebihi 5 gram atau kurang dari 1 paras sudu teh sehari. Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi (tekanan darah tinggi).

Hipertensi yang tidak terkawal akan menyebabkan penyakit jantung serta strok, dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

Pilihlah untuk makan secara sihat dengan mengurangkan pengambilan garam dengan mengambil langkah-langkah berikut: 

  • Kenali nama lain bagi garam dalam makanan, seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate, Monosodium Glutamate dan lain-lain;
  • Baca label dan bandingkan maklumat kandungan natrium sebelum membeli makanan;
  • Hadkan pengambilan garam tidak melebihi 1 paras sudu teh sehari termasuk garam beriodin bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan strok;
  • Utamakan perisa asli dan kurangkan penggunaan garam, sos dan kicap dalam masakan; dan
  • Ubah suai masakan kepada lebih sihat dan kerap makan di rumah atau bawa makanan yang dimasak di rumah ke tempat kerja.

Related posts

Leave a Comment