Kompaun potong ‘Q’ dapatkan vaksin

PUTRAJAYA 1 Mac – Potong giliran untuk dapatkan vaksin mungkin boleh didenda atau kompaun. Itu penegasan kerajaan berhubung isu individu yang memotong giliran untuk mendapatkan vaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kuasa tambahan mungkin diberikan kepada Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba untuk mengenakan kompaun tersebut.

Menurut Khairy, pihaknya juga sudah mewujudkan ‘Garis Panduan Penetapan Senarai Petugas Barisan Hadapan’ bagi memastikan isu tersebut tidak lagi berulang kelak.

Dengan garis panduan yang jelas ini, ia membolehkan mereka yang ada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) memastikan mereka yang datang adalah barisan hadapan. Kalau ada pun tekanan, jangan benarkan sesiapa potong giliran.

“Kami sangat tegas dalam perkara ini. Kita juga buka aduan secara e-mel. Kalau ada maklumat, mereka boleh buat aduan, tak perlu sertakan nama pun tidak mengapa.

“Kalau berlaku juga (potong giliran), kita mungkin boleh tambah kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk denda atau kompaun siapa yang potong giliran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di sini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba

Jelas Khairy, meskipun ramai keliru, namun beliau memaklumkan wakil rakyat merupakan penerima vaksin Covid-19 dalam Fasa Satu, seperti yang diumumkan sebelum ini

Ditanya berkaitan denda dan kompaun tersebut, Adham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa meneliti penilaian risiko terutamanya dalam pencegahan dan kawalan wabak.

“Dalam Akta 342, kita ada seksyen untuk bawa ke muka pengadilan sekiranya ada individu menghalang atau membantutkan usaha melawan Covid-19 ini,” katanya.

Isu potong giliran hangat diperkatakan apabila terdapat aduan mendakwa ada golongan VIP memotong giliran barisan hadapan dalam menerima vaksin.

Related posts

Leave a Comment