Cuti 55 hari ziarah keluarga di NZ

KUALA LUMPUR 1 Mac – Cuti 55 hari untuk ziarah keluarga di New Zealand. Demikian penjelasan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Santhara Kumar berhubung ‘ketiadaannya’ di negara ini khususnya di Segamat dan Kuala Lumpur.

Beliau menjelaskan cuti tahunan dan cuti tanpa gaji itu  dibuat melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa selain mendapat kelulusan Perdana Menteri,  Muhyiddin Yassin atas faktor menziarahi keluarga di negara berkenaan.

Ahli Parlimen Segamat itu bagaimanapun, berkata, komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab adalah sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan kebajikan rakyat di Wilayah Persekutuan dan Parlimen Segamat terus terpelihara.

Setelah memastikan setiap prosedur dipatuhi dan semua kelulusan diperoleh, beliau pada 23 Disember 2020 berangkat ke New Zealand selepas menghadiri mesyuarat.

Setiba di negara berkenaan, beliau menjalani kuarantin sehingga 9 Januari 2021.

“Tujuan saya ke luar negara bagi melawat anak-anak saya di New Zealand, khususnya anak saya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Selain itu, sebagai bapa yang bertanggungjawab saya perlu bertemu dengan anak yang berusia sembilan tahun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sepanjang cuti rehat tersebut setelah hampir setahun tidak berjumpa.

“Saya telah menghadiri setiap hari persidangan Dewan Rakyat dengan rekod kehadiran 100 peratus. Saya juga telah menghadiri persidangan Dewan Negara untuk penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 pada 22 Disember 2020,” jelasnya dalam kenyataan di sini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mempersoal dan meminta penjelasan Santhara susulan laporan media yang mendakwa beliau berada di negara itu sejak Disember tahun lalu.

Prabakaran yang memetik laporan Sarawak Report turut mendakwa, Santhara tidak pulang ketika Segamat dilanda banjir pada bulan lalu dan dikatakan telah kembali ke Malaysia sebelum Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari, tetapi pergi semula ke sana selepas itu.

Related posts

Leave a Comment