Pak Long terima vaksinasi Covid-19

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera (HAT)Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Beliau menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan sekitar pukul 9.30 pagi oleh vaksinator Koperal Siti Maliah Sheikh Alwi.

Ismail Sabri yang tiba sekitar pukul 9.09 pagi melalui lima stesen untuk menjalani proses vaksinasi tersebut.

Ia termasuk melalui saringan gejala dan suhu dan stesen pemerhatian selepas diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Turut menerima suntikan pada hari ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha, Muez Abd Aziz.

Selain itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang; Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Mohd Reza Mohd Sany; serta Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Ackbal Abdul Samad.

Dijangka sebanyak 162 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima suntikan vaksin, hari ini.

Seramai 42,120 anggota ATM di seluruh negara akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Related posts

Leave a Comment