Lebih 600,000 daftar vaksinasi

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Sejak pendaftaran vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuka secara rasmi melalui aplikasi MySejahtera semalam, seramai 637,000 individu telah mendaftar sebagai penerima menerusi medium tersebut setakat 9 malam.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Mahesh Appannan berkata pada masa ini aplikasi berkenaan dilihat sebagai medium paling berkesan untuk menyebarkan maklumat mengenai Covid-19 termasuk program vaksinasi.

Aplikasi MySejahtera sekarang mempunyai hampir 21 juta pengguna unik dan setiap hari  hampir 18 hingga 20 juta check-in.

Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk ‘Vaksin Covid-19: Selamat dan Berkesan? semalam..

Pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera merupakan antara lima kaedah pendaftaran secara dalam talian atau secara manual yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dalam pada itu, Dr Mahesh turut memberi jaminan mengenai keselamatan data pengguna MySejahtera memandangkan aplikasi tersebut di bawah akta penting seperti Akta Perubatan 1971 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, selain turut menjalankan hubungan strategik dengan Agensi Keselamatan Siber Negara.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 48 peratus kontak rapat Covid-19 berjaya dikesan melalui  aplikasi MySejahtera.

Related posts

Leave a Comment