Bimbang data peribadi punca PADU rendah

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui kebimbangan butiran peribadi tidak dirahsiakan dipercayai antara punca jumlah pendaftaran dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) masih rendah.

Malahan katanya, di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sendiri hanya 33.4 peratus daripada 24,471 warga kementerian itu dan agensi di bawahnya direkodkan berdaftar dalam sistem berkenaan.

“Ya memang setakat ini 33.4 peratus daripada pegawai dan kakitangan KKDW yang sudah mendaftar PADU.

“Tetapi kami sedang mengusahakan beberapa langkah… pada pertengahan bulan ini kita akan lakukan beberapa tindakan untuk memastikan 100 peratus (warga KKDW) akan mendaftarkan dengan PADU,” kata Zahid.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Perangkawan, Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata hanya 2.69 juta rakyat negara ini sudah kemas kini maklumat dalam sistem PADU.

Sistem itu mempunyai 30 juta nama penduduk yang perlu membuat pengesahan dan kemas kini maklumat masing-masing sehingga 31 Mac ini.

“Mungkin kesedaran belum sampai lagi. Ada juga merasakan bahawa butir peribadi itu tidak dirahsiakan, tapi kita mempunyai jalan tertentu supaya semua dapat diselesaikan kerana itu semua (PADU) untuk faedah kita bersama,” kata Zahid.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid mahu seluruh warga KKDW memberikan kerjasama dan menterjemahkan kebersamaan dalam setiap insiatif kerajaan dengan menyegerakan pengemaskinian sistem PADU.

Nnn

Related posts

Leave a Comment