WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan mengedarkan 25 juta pelitup muka kain secara percuma bermula bulan depan sebagai usaha untuk membendung penularan pandemik koronavirus Covid-19.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih, mulai Mac berjuta pelitup muka akan dihantar untuk bank makanan dan pusat kesihatan komuniti di seluruh negara.
Dianggarkan lebih 25 juta pelitup muka berkualiti tinggi dan mudah dicuci itu akan diedarkan ke seluruh negara yang boleh diperoleh di lebih 1,300 pusat komuniti dan 600,000 pusat pengedaran makanan di seluruh AS.
Kenyataan itu menyebut, dua pertiga daripada rakyatnya yang mendapat rawatan di pusat kesihatan komuniti tinggal dalam kemiskinan dengan 60 peratus merupakan etnik minoriti dan hampir 1.4 juta lagi tidak mempunyai rumah.
Penerima program itu yang melibatkan kos sebanyak AS$86 juta (RM347.61 juta) layak untuk mendapat dua pelitup muka bagi setiap orang dalam sebuah keluarga.
Keputusan untuk mengedarkan pelitup kain itu dibuat selepas Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDS) AS mengeluarkan satu kajian terbaharu menunjukkan pelitup muka yang berkualiti tinggi mampu memberikan perlindungan kepada si pemakainya dan orang yang berada di sekelilingnya.
