Bukan hanya tumpu pada China

PUTRAJAYA 31 Dis. – Varian baharu Covid-19 boleh merebak merentas sempadan antarabangsa dengan pantas dan boleh muncul di mana-mana, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Justeru, tumpuan dan tindakan hanya untuk negara China sahaja tidak berkesan dan juga tidak munasabah sebaliknya meningkatkan pemantauan dan survelan dari pelbagai sumber.

“Apa yang penting adalah berkongsi maklumat jujukan genomik dengan negara-negara lain dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini dapat dijalankan melalui pengambilan sampel dan ujian secara rawak oleh pihak KKM/ IMR.

“Kita sepatutnya jangan alpa dan meningkatkan aktiviti pencegahan dan kepatuhan kepada tindakan kesihatan awam (amalkan 3W dan elakkan 3S),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr.Noor Hisham berkata, susulan pembukaan sempadan negara China pada 8 Januari 2023, pelbagai pandangan dan kebimbangan disuarakan termasuk uji dan kuarantin semua pengembara dari China.

“Untuk perhatian kita perlu lihat dengan terperinci matlamat dan kesesuaian masa pelaksanaan serta keberkesanan tindakan kita untuk menguji dan kuarantin semua pengembara dari negara China tersebut,” katanya.

Beliau berkata, jika matlamat untuk mengurangkan jangkitan dalam negara, ternyata ini tidak akan berkesan kerana Covid-19 sudah berada di persekitaran dalam negara dengan pelbagai subvariant dalam fasa peralihan endemik dan mitigasi untuk kita hidup bersama virus tersebut.

“Jika matlamat kita adalah untuk mencegah potensi varian baru SARS-CoV-2 memasuki negara (buat masa ini maklumat varian/subvarian yang dikongsikan oleh negara China kepada pihak WHO, menunjukkan Malaysia juga mengesan varian/subvarian yang sama melalui jujukan genomik),

“Maka untuk keberkesanan kita perlu pastikan ujian RT PCR negatif atau rtk Ag (profesional) sebelum berlepas dari semua destinasi bukan hanya dari China sahaja dan ini juga perlu melibatkan rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara ,” katanya.

Beliau juga menyarankan rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan vaksin dan dos penggalak. KKM akan terus memperkukuhkan sistem kesihatan di klinik kesihatan dan hospital untuk merawat pesakit yang dijangkiti.

“KKM akan terus memantau perkembangan situasi pandemik COVID-19 ini, dan penilaian risiko akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi melaksanakan langkah-langkah kesihatan awam yang berkesan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment