Kuantan kini bandar raya

KUANTAN 21 Feb. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Kuantan, ibu negeri Pahang, sebagai bandar raya dalam majlis bersejarah hari ini. 

Al-Sultan Abdullah dalam titah Diraja, menzahirkan hasrat mahu melihat Kuantan yang mula wujud pada pertengahan kurun ke-19 menerusi sistem penubuhan Kuantan Sanitary Board pada 1 Ogos 1913 terus mencipta lebih banyak kejayaan sebagai sebuah bandar raya yang unggul.  

“Namun, penubuhan sebuah bandar raya bukanlah semata-mata pada nama. Justeru, dalam meniti hari-hari mendatang, kerajaan negeri beta dan Majlis Bandaraya Kuantan hendaklah sentiasa menumpukan usaha ke arah peningkatan kesejahteraan dan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat. 

“Marilah kita berdoa pada hari yang bersejarah ini semoga bandar raya Kuantan menjadi menjadi sebuah bandar raya unggul dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah S.W.T,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang terdahulu berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan di Kompleks Bandaraya Kuantan di sini, yang berlangsung dalam suasana sederhana, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa di Pahang. 

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat, diiringi anakanda-anakanda Seri Paduka Baginda Berdua termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah. 

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan melantik Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Hamdan Hussin sebagai Datuk Bandar pertama Kuantan, selain berkenan merasmikan Kompleks Bandaraya Kuantan. Kuantan diisytiharkan sebagai ibu negeri pada 27 Ogos 1955. 

Sementara itu, Wan Rosdy menyifatkan keberangkatan Seri Paduka Baginda ke majlis itu sebagai mengimbau sejarah perubahan status daerah Kuantan kerana mengulangi peristiwa lebih 40 tahun lalu, iaitu semasa Kuantan dinaik taraf daripada bandaran kepada majlis perbandaran pada 1 September 1979. 

“Ketika itu, Seri Paduka yang masih bujang, usia baharu mencecah 20 tahun telah berangkat sebagai Pemangku Raja Pahang dalam pakaian sut berwarna biru muda menyempurnakan pelancaran majlis tersebut dan hari ini, selepas lebih empat dekad, berangkat menyempurnakan pemasyhuran sebagai bandar raya. 

“Patik juga menjunjung kasih kepada sumbangan besar Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang semasa hayat baginda, dari semasa ke semasa, memandu sendiri kenderaan sambil meninjau keadaan dan kemajuannya. Kejayaan Kuantan hari ini, juga banyak terhutang kepada pemerintahan dan pentadbiran yang lepas,” katanya. 

Related posts

Leave a Comment