Kematian pertama doktor di Thailand

BANGKOK 19 Feb. – Seorang doktor sebuah klinik di wilayah Maha Sarakham yang merawat pesakit Covid-19 dan kemudiannya dijangkiti virus itu meninggal dunia awal pagi semalam.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), doktor berusia 66 tahun itu merawat tiga pesakit di kliniknya sebelum mereka disahkan dijangkiti Covid-19, yang berkaitan dengan jamuan makan di wilayah timur laut.

Dia dipercayai dijangkiti antara 13 dan 28 Januari dan pada 29 Januari, doktor yang menghidap barah prostat itu mengetahui bahawa pesakitnya positif Covid-19. Dia segera menjalani ujian Covid-19, yang menunjukkan negatif.

Pada 31 Januari dia mengalami sakit otot dan berasa demam dan ujian Covid-19 keduanya menunjukkan positif pada 1 Februari. Hari berikutnya  dimasukkan ke Hospital Maha Sarakham.

Pada 7 Februari, dia mengalami radang paru-paru dan bergantung pada ventilator. Keadaan kesihatannya merosot dan dipindahkan ke Hospital Srinagarind di wilayah Khon Kaen tetapi meninggal pada awal pagi Khamis

Kematian doktor itu menjadikan jumlah kematian 83 orang manakala jumlah

jangkitan sejak wabak melanda negara meningkat kepada 25,241.

Sejak gelombang kedua Covid-19, antara 15 Disember dan 18 Februari, sebanyak 36 pekerja kesihatan dijangkiti Covid-19 tetapi ini kematian pertama melibatkan seorang petugas barisan hadapan.

Dalam tempoh 24 jam lepas, sebanyak 130 kes dilaporkan melibatkan 116 kes jangkitan tempatan dan 14 kes import. Sebanyak 61 kes dikesan di hospital manakala 55 dalam komuniti.

Samut Sakhon merekodkan  71 kes iaitu 49 Myanmar dan 22 Thailand manakala

kes import yang dikuarantin sejurus ketibaan adalah dari Jerman (2), Emiriyah Arab Bersatu (3), Amerika Syarikat (1), Myanmar (2), Itali (1), Kuwait (1), Denmark (3) dan Cameroon (1).

Daripada 25,241 kes, sebanyak 24,070 atau 95.3 peratus dilaporkan sembuh termasuk 124 yang pulih hari ini manakala 1,088 masih dirawat di hospital.

Related posts

Leave a Comment