Sultan Perak zahir penghargaan

IPOH 17 Feb. – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menzahirkan titah penghargaan terhadap seorang guru, Ismail Mohd Zain, 40, yang sanggup membersihkan Sungai Balun di Slim River, Tanjung Malim secara sukarela.

Sultan Nazrin bertitah usaha guru Sekolah Kebangsaan Felda Besout 1, Slim River membersihkan sungai daripada sampah terperangkap dapat menghindari banjir.

Selain itu, usaha Ismail juga dapat memelihara habitat pelbagai spesies hidupan air untuk membiak seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat.

“Beta menzahirkan penghargaan atas sifat amat terpuji yang telah saudara Beta pamerkan,” titah Sultan Nazrin menerusi satu warkah penghargaan di sini hari ini. 

Sultan Perak bertitah sebagai seorang guru, Ismail telah menunjukkan teladan kepemimpinan yang baik kepada profesion keguruan dan sewajarnya sikap beliau dicontohi oleh warga pendidik serta para pelajar di negara ini.

“Semoga Allah menerima usaha murni ini yang dilakukan sebagai amal makruf yang dilimpahi dengan ganjaran dunia dan akhirat,” titah Sultan Nazrin. 

Sementara itu, Ismail ketika dihubungi Bernama meluahkan rasa teruja dan terharu apabila menerima titah penghargaan daripada Sultan Nazrin.

“Saya tidak tahu hendak gambarkan (perasaan) sebab perkara yang saya buat (membersihkan sungai) kecil sahaja tetapi mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk media yang menyiarkan berita. 

“Saya menerima panggilan daripada pihak istana hari ini memberitahu surat penghargaan daripada Sultan Perak telah diposkan ke sekolah semalam,” kata bapa kepada dua orang anak itu.

Ismail berkata Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi hantaran di Facebook semalam turut menzahirkan ucapan penghargaan atas usahanya membersihkan sungai berkenaan.

Related posts

Leave a Comment