Pakej Daya Tahan Covid-19 Singapura

SINGAPURA 16 Feb. – Pakej Daya Tahan Covid-19 berjumlah S$11 bilion yang dibentangkan dalam Belanjawan Negara Singapura hari ini  bertujuan menangani “tugas segera” memerangi pandemik tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat

Beliau berkata, tumpuan adalah kepada  tiga bidang iaitu terus menyokong pekerja dan perniagaan, melindungi kesihatan awam dan memberi bantuan yang disasarkan kepada sektor yang masih tertekan.

Katanya, Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), yang membantu mengekalkan pekerjaan dengan memberi subsidi gaji pekerja, akan diperluas bagi sektor yang terus terjejas.

Heng berkata langkah-langkah Belanjawan yang diumumkan tahun lalu membantu mencegah “kesan ekonomi secara mendalam dan berkekalan” terhadap ekonomi Singapura, khususnya JSS yang bertujuan melindungi pekerjaan dan menolong syarikat mengekalkan pekerja tempatan.

JSS, yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2020 Februari lalu, memberi subsidi pendapatan bagi membantu majikan membayar antara 25 dengan 75 peratus gaji bulanan pekerja.

Setakat ini, lebih S$25 bilion diperuntukkan kepada JSS, yang menyokong lebih daripada 155,000 majikan sehingga 17 bulan. Jumlah sekarang akan terus membantu membiayai gaji pekerja di kebanyakan sektor sehingga Mac 2021.

Bagaimanapun, beliau menekankan meskipun ekonomi sedang pulih, pemulihan itu dijangka tidak seimbang dengan beberapa sektor tetap mengalami tekanan.

Sebagai permulaan, firma di sektor Tahap 1 – penerbangan, aeroangkasa dan pelancongan – akan mendapat lanjutan bantuan JSS selama enam bulan. Syarikat-syarikat ini akan mendapat bantuan gaji sebanyak 30 peratus yang dibayar dari April hingga Jun tahun ini, dan bantuan gaji sebanyak 10 peratus sokongan dari bulan Julai hingga September.

Firma di sektor Tahap 2 – seperti runcit, perkhidmatan makanan, seni dan budaya, serta marin dan lepas pantai – akan menerima sokongan gaji 10 peratus selama tiga bulan lagi, meliputi gaji yang dibayar hingga bulan Jun.

Heng berkata, tidak akan ada perubahan bagi firma di sektor Tahap 3A, yang pada umumnya sedang pulih. JSS akan menampung 10 peratus gaji sehingga Mac bagi syarikat dalam sektor ini, seperti yang diumumkan sebelumnya.

Menurut beliau lagi,  meskipun tempat-tempat hiburan malam belum dibenarkan dibuka semula, mereka dapat memohon geran untuk berubah kepada kegiatan lain atau tutup kedai.

Pakej juga akan membiayai Geran Pemulihan Covid-19, yang membantu pekerja yang hilang pekerjaan atau mengalami “kehilangan pendapatan yang besar”.

Bagi melindungi kesihatan awam, kira-kira S$4.8 bilion daripada Pakej Daya Tahan Covid-19 juga akan digunakan untuk melindungi kesihatan awam dan memastikan pembukaan semula ekonomi Singapura secara selamat.

“Kuncinya ialah dengan memberi suntikan vaksin kepada penduduk kita,” katanya.

Pada masa yang sama membendung penularan virus, dengan mengekalkan langkah berjaga-jaga dan sistem pertahanan kita seperti menjejak kontak, menjalankan ujian, dan amalan jarak selamat.

Related posts

Leave a Comment