Kluster baharu di New Zealand

WELLINGTON: New Zealand mengesahkan penemuan kluster baharu wabak Covid-19 di negara itu melibatkan tiga sekeluarga di mana ibu dan anak perempuan diuji positif pada Sabtu manakala suami wanita itu dikesan positif pada Ahad.

Difahamkan wanita terbabit bekerja di sebuah firma katering untuk syarikat penerbangan antarabangsa.

Pihak berkuasa bagaimanapun menafikan kes jangkitan baharu ini ada kaitan dengan sajian dalam penerbangan ekoran jurang lapan hari di antara hari terakhir wanita itu di tempat kerja dan ketika dia positif.

Menteri Kesihatan Chris Hipkins mengesahkan penemuan itu namun kekurangan bukti bagi mencari asal-usul jangkitan tersebut.

“Kami juga akan mencari apakah ada bukti Covid-19 berada di luar sana dalam komuniti dan beredar di antara satu dengan yang lain,” kata Hipkins.

New Zealand antara negara paling berjaya membendung wabak Covid-19 apabila tidak merekodkan kes baharu selama lebih dua bulan.

Sejak tiga minggu kebelakangan, beberapa kes positif dilapor dikesan di sebuah hotel di mana individu terbabit selesai menjalani proses kuarantin setelah pulang dari luar negara.

Hipkins berkata tiada keperluan segera untuk memperkenalkan sekatan baharu ketika pegawai kesihatan menyiasat asal-usul jangkitan.

Related posts

Leave a Comment