166 kes baharu di Thailand

BANGKOK 14 Feb. -Thailand merekodkan 166 kes baharu jangkitan Covid-19  termasuk 28 kes import yang membawa kepada peningkatan jumlah kumulatif sebanyak 24,571 kes dengan kematian kekal 80.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), hampir separuh kes tempatan direkodkan hasil pengesanan di Pathum Thani dan Samut Sakhon.

Laporan dari hospital pula menunjukkan 33 jangkitan dikesan di Samut Sakhon, 11 di Bangkok, dua di Saraburi dan masing-masing satu di Nakhon Pathom, Nakhon Ratchasima dan Samut Prakan.

Pihak berkuasa kesihatan kini memberi tumpuan ke Pathum Thani sebagai tambahan kepada kawasan Samut Sakhon selepas kes baharu dikesan di pasar Pornpat di daerah Thanyaburi minggu lepas.

Kes baharu di Nakhon Ratchasima menyebabkan pihak berkuasa melakukan sekatan keluar masuk (lock down) Ban Nong Bua Daeng di Soeng Sang, di mana penduduk yang kekuar masuk kawasan berkenaan diperiksa.

Nakhon Ratchasima merekodkan 11 kes sejak gelombang kedua Covid-19 di Thailand. Sembilan kes pulih manakala dua lagi masih di hospital.

Sementara itu, 28 kes import  turut melibatkan warga Thai iaitu lapan yang tiba dari Tanzania pada Jumaat lalu, tiga dari India, masing-masing dua dari Mozambique dan Ghana, masing-masing satu dari Jerman, Maldives, Emiriyah Arab Bersatu, Nigeria, Mesir dan United Kingdom.

Kes import melibatkan warga asing pula adalah tiga dari Rusia, masing masing satu dari Itali, Kazakhstan, Pakistan dan Sepanyol.

Related posts

Leave a Comment