Tiada majlis, aktiviti sosial semasa PKP

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Hampir semua aktiviti sosial dan yang menyukarkan penjarakan fizikal tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri yang akan dikuat kuasa mulai 12.01 tengah malam ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini termasuk majlis keraian seperti perkahwinan dan pertunangan, resepsi, sambutan ulang tahun, kenduri serta doa selamat.

Turut dilarang adalah mesyuarat bersemuka sama ada oleh kerajaan, swasta atau badan bukan kerajaan serta yang berkaitan industri MICE terdiri daripada mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran tidak dibenarkan.

“PKP ini kita banyak tumpukan kepada aktiviti sosial. Dari segi ekonomi ada dibenarkan, banyak juga dibenarkan tetapi yang tak dibenarkan langsung atau sebahagiannya sahaja adalah aktiviti sosial,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP di sini hari ini. 

Penguatkuasaan semula PKP itu, yang melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari hingga 26 Januari ini, telah diumumkan Perdana Muhyiddin Yassin semalam.

Enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di Perlis dan Sarawak dalam tempoh sama.

Ismail Sabri berkata aktiviti sukan dan rekreasi juga tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan PKP namun kelonggaran diberikan kepada aktiviti riadah termasuk joging serta berbasikal terhad kepada dua orang sahaja dalam satu kumpulan.

Katanya sebarang kejohanan serta pertandingan sukan, aktiviti pelancongan keluar dan masuk ke kawasan PKP termasuk kemasukan pelancong asing ke dalam negara turut tidak dibenarkan. 

Untuk aktiviti ekonomi, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, operasi pasar malam, bazar larut malam, kedai menjual pakaian, kedai cermin mata, gunting rambut, salon, spa dan refleksologi serta kelab malam tidak dibenarkan.

Beliau berkata prosedur operasi standard yang hampir sama melibatkan aktiviti sosial terpakai dalam kawasan PKPB di mana semua aktiviti MICE, majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta, kenduri dan majlis sosial lain tidak dibenarkan.

“Aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal dan dijalankan individu tidak lebih 10 orang dibenarkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagi PKPP pula, ia  adalah sama seperti sebelum ini cuma terdapat tambahan kepada larangan rentas negeri sehingga pelaksanaannya tamat.

Related posts

Leave a Comment