Suntikan vaksin di NZ 20 Feb.

WELLINGTON: New Zealand akan memulakan program suntikan vaksin Covid-19 negara itu pada 20 Februari ini, susulan penerimaan bekalan vaksin Pfizer-BioNTech yang tiba lebih awal daripada yang dijangkakan sebelum ini.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata, sebelum ini pihaknya menyatakan bekalan vaksin tersebut akan tiba pada suku kedua tahun ini, dan awal tahun ini mengumumkan  ia akan tiba pada suku pertama.

“Saya sangat gembira untuk umumkan bekalan ini akan tiba pada awal suku pertama,” kata Ardern kepada pemberita.

New Zealand dan Australia telah meluluskan penggunaan vaksin keluaran bersama syarikat Amerika Syarikat, Pfizer Inc, dan Jerman, BioNTech.

Australia pula dijangka mulakan program vaksinasi akhir bulan ini tanpa memberitahu tarikh secara spesifik.

Bagaimanapun Ardern berkata, program vaksinasi ini tidak akan memberi kesan kepada pelaksanaan gelembung perjalanan yang ditangguhkan antara kedua-dua negara tersebut.

Australia dan New Zealand sebelum ini berharap untuk membenarkan pergerakan bilateral pada akhir Mac, namun penularan wabak Covid-19 baharu di Australia menyebabkan ia tertangguh.

“Sudah tentu ia akan menjadi titik permulaan yang akan membolehkan pergerakan di seluruh dunia, tetapi bukan dalam masa terdekat,” kata Ardern.

Kira-kira 12,000 anggota yang bertugas di kawasan sempadan negara akan diberi suntikan vaksin dahulu, diikuti dengan kontak rapat mereka.

Petugas kesihatan serta golongan berisiko tinggi akan diberikan suntikan vaksin selepas itu sebelum ia diagihkan kepada keseluruhan rakyat pada separuh kedua tahun ini.

“Kami telah membeli bekalan vaksin yang mencukupi untuk diberikan kepada semua rakyat New Zealand secara percuma,” tambah beliau.

Pihak berkuasa perubatan negara itu kini dalam perbincangan dengan AstraZeneca, Novavax dan Janssen Biotech berkaitan kelulusan untuk menggunakan vaksin Covid-19 keluaran mereka.

Related posts

Leave a Comment